21/01/2014

Kempen Kesedaran Sifar Polisterin

31 Disember 2013

     
     Kempen Kesedaran Sifar Polisterin peringkat Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) telah disempurnakan oleh Yang Dipertua MPAG Datuk Abu Bakar Bin Abdul dengan disaksikan oleh Setiausaha MPAG, Encik Zainul Adnan Bin Mohd Said, Pengarah Pengindahan Bandar Encik Kamarudin Bin Mustapa serta seluruh warga kerja MPAG di perhimpunan pagi bulanan MPAG Bil 12/2013.

    Kempen ini bertujuan untuk memberi kesedaran pada semua staf dan pegawai MPAG tentang kepentingan pengharaman penggunaan produk polisterin secara menyeluruh. Di samping itu juga kempen ini bertujuan untuk memelihara alam sekitar daripada pembuangan sampah produk polisterin yang semakin berleluasa.



     Untuk makluman, bahan pembungkus polisterin yang biasa kita gunakan mengandungi bahan karsinogen yang boleh mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan.
Menurut kajian, Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC) ,Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) mengelaskan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser kepada manusia. Bahan-bahan kimia daripada bekas itu akan menyerap ke dalam makanan  dan kemudian ke dalam tubuh manusia.

           
Untuk pengetahuan umum, stirena adalah suatu mutagen yang boleh mengakibatkan perubahan genetik yang berpotensi merosakkan sistem pembiakan. Mutagen ini amat berbahaya terhadap alam sekitar malah pada manusia juga. Pendedahan kepada stirena dapat merendahkan bilangan  sel darah merah dan boleh menyebabkan seseorang perempuan itu mengalami gangguan haid.

Polisterin mengandungi stirena dan benzena yang boleh menjejaskan alam sekitar yang mana bahan-bahan berbahaya ini mengambil masa 500 tahun untuk dimusnahkan secara semulajadi.
Justeru itu pihak MPAG akan bekerjasa dengan beberapa agensi dalaman serta luaran untuk memperluaskan lagi skop kesedaran secara menyeluruh dan pelbagai peringkat umur seperti Jabatan Kesihatan, Jabatan Pendidikan dan lain-lain.

No comments: